| Universiti Putra Malaysia

SBE UPM perkukuh kolaborasi industri, lancar dua makmal baharu

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

KUALA LUMPUR, 23 September – School of Business and Economics (SBE), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh hubungan strategik bersama industri menerusi penghargaan kepada 33 rakan industri serta pelancaran dua makmal baharu yang berperanan memperluas kerjasama dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat.

 

Inisiatif tersebut merupakan antara pengisian utama Majlis Industry Appreciation @ SBE UPM yang berlangsung bersempena University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam. 

 

Daripada keseluruhan 33 rakan industri yang menerima pengiktirafan, tiga menerima Industry Excellence Partner Award, manakala 30 lagi menerima Strategic Industry Partner Award sebagai penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka dalam memperkukuh jaringan strategik bersama SBE UPM.

 



 

Dekan SBE, UPM, Profesor Dr. Bany Ariffin Amin Noordin, berkata hubungan strategik dengan industri penting dalam memastikan pendidikan, penyelidikan dan inovasi yang dilaksanakan universiti terus relevan dengan keperluan semasa serta memberi impak kepada industri dan masyarakat.

 

“Kolaborasi yang berterusan membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, peluang pembelajaran dan pembangunan bakat, penyelidikan berimpak serta pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat bersama kepada universiti, industri dan masyarakat.

 

“Pengiktirafan ini bukan sekadar penghargaan, tetapi mencerminkan komitmen bersama untuk membina ekosistem kerjasama yang lebih kukuh dan berimpak,” katanya.

 



Majlis turut menzahirkan penghargaan khas kepada CEO@SBE, Yang Mulia Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj atas kepimpinan, komitmen dan sokongan berterusan dalam memperkukuh keterlibatan SBE UPM bersama industri serta menyokong perkembangan dan kecemerlangan SBE UPM sepanjang tahun 2025/2026.

 

Dalam majlis yang sama, SBE UPM turut melancarkan dua makmal baharu, iaitu Aerospace and Advanced Manufacturing Finance and Economics Lab (AAMFE Lab) yang ditubuhkan bersama Advanced Manufacturing and Robotics Accelerator Centre of Excellence (AMRACE) serta Social and Economic Value Lab (SBE SEV Lab) dengan kerjasama Social Value Malaysia (SVM).

 

Penubuhan kedua-dua makmal berkenaan memperluas ruang kerjasama industri-akademia, khususnya dalam menghubungkan kepakaran akademik, penyelidikan dan inovasi dengan keperluan sebenar industri serta cabaran sosioekonomi masyarakat.

 

Makmal-makmal tersebut juga dijangka menjadi platform untuk memperkasa penyelidikan berasaskan keperluan industri, menghasilkan pengetahuan yang boleh diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal serta membuka lebih banyak peluang kolaborasi antara penyelidik dan rakan strategik.

XZKUUAS~