| Universiti Putra Malaysia

UPM perkasa potensi agropreneur pelajar, ODS menerusi Bootcamp Agropreneur Harapan

 

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

SERDANG, 16 Julai- Seramai 150 peserta terdiri daripada 100 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan 50 Orang Diselia (ODS) menyertai Bootcamp Agropreneur Harapan yang berlangsung selama dua hari di Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), UPM, bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang keusahawanan agro serta pertanian moden.

 

 

Program ini bertujuan membina keyakinan peserta untuk melaksanakan projek agro yang berdaya saing di samping memperkasa ODS melalui pendedahan kepada peluang keusahawanan dan pertanian sebagai salah satu alternatif pembangunan ekonomi diri.

 

 

Penyelaras Program, Nur Suhaila Juharei berkata pengisian sepanjang program dirangka secara menyeluruh bagi membolehkan peserta memahami setiap aspek penting dalam membangunkan sesebuah perniagaan, bermula daripada perancangan model perniagaan, pemasaran, peluang pembiayaan sehinggalah kepada proses pendaftaran syarikat.

 

 

"Melalui pendedahan ini, kami berharap peserta bukan sahaja memperoleh ilmu keusahawanan, malah mempunyai keyakinan untuk mengembangkan idea perniagaan mereka menjadi sebuah perusahaan yang mampan dan berdaya saing," katanya.

 

 

Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian merangkumi peluang pembiayaan, pemasaran digital, penyediaan rancangan perniagaan, pembangunan Business Model Canvas, perkongsian inspirasi keusahawanan serta pendaftaran syarikat melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

 


Pelajar Tahun Dua, Fakulti Sains, Muhammad Izzuddin Makhtar berkata penyertaannya dalam Bootcamp Agropreneur Harapan bukan sahaja memberi pendedahan kepada bidang keusahawanan agro, malah membuka peluang untuk membina jaringan dan mengeratkan hubungan dengan pelajar senior di Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS).

 

 

"Program ini banyak membantu saya meningkatkan kemahiran insaniah, khususnya dalam aspek komunikasi dan keyakinan diri ketika berinteraksi dengan peserta daripada pelbagai latar belakang. Pengalaman ini juga memberi perspektif baharu tentang potensi bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya pada masa hadapan," katanya.

 

 

Program itu merupakan kerjasama erat antara Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), Jabatan Penjara Malaysia, Fakulti Pertanian UPM serta lima kolej kediaman UPM iaitu Kolej Canselor, Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah, Kolej Sepuluh, Kolej Tun Dr Ismail dan Kolej Tan Sri Aishah Ghani.

 

Sementara itu, Pelajar Tahun Pertama, Fakulti Ekologi Manusia, Muhammad Syakir Mohd Abrary berkata program itu memberi pengalaman bermakna apabila beliau berpeluang berinteraksi secara langsung dengan Orang Diselia (ODS) serta memahami peranan komuniti dalam memperkasa bidang keusahawanan agro.

 

 

"Program ini bukan sahaja menambah pengetahuan saya mengenai pertanian dan keusahawanan, malah meningkatkan kemahiran komunikasi serta keyakinan untuk bekerjasama dengan komuniti daripada pelbagai latar belakang. Saya berharap lebih banyak program seperti ini dapat diteruskan kerana ia memberi peluang kepada pelajar dan ODS untuk saling belajar serta membina keyakinan ke arah kehidupan yang lebih berdikari," katanya.

XZHRJA~