| Universiti Putra Malaysia

UPM Perkukuh Akuakultur Sirkular Tangani Cabaran Perubahan Iklim

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
Foto oleh: Saleha Haron

 

 

PUTRAJAYA, 24 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh agenda penyelidikan dan inovasi dalam bidang akuakultur menerusi penganjuran Symposium on Circular Innovations in Aquaculture: Addressing Climate Challenges Towards a Regenerative Future yang menghimpunkan penyelidik, wakil kerajaan, pemain industri dan rakan strategik dari dalam serta luar negara.

 

Simposium anjuran UPM menerusi Fakulti Pertanian, UDRP Algae Biota Technology & Innovation (ALBIC) dan Jabatan Akuakultur UPM dengan kerjasama International Development Research Centre (IDRC) Kanada itu berlangsung pada 24 hingga 25 September 2026 bagi membincangkan pendekatan inovatif dalam membangunkan sistem akuakultur yang lebih mampan, berdaya tahan dan responsif terhadap cabaran perubahan iklim.

 

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. Shamsul Bahri Hj. Md Tamrin berkata, sektor pertanian memainkan peranan penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan, menyokong kehidupan masyarakat serta memacu pembangunan ekonomi.

 

 

“Peningkatan tekanan terhadap sumber semula jadi, perubahan iklim dan permintaan terhadap makanan berkhasiat memerlukan pembangunan sistem pengeluaran yang lebih cekap, mampan, berdaya tahan dan mesra alam,” katanya.

 

Pendekatan tersebut selari dengan UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint yang melihat keterjaminan makanan, kesejahteraan manusia dan kesihatan ekosistem sebagai agenda yang saling berkait.

 

“Melalui penyelidikan, inovasi dan kerjasama strategik, UPM terus komited membangunkan penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada industri pertanian, masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

 



Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, H.E. Ms. Jodi Robinson berkata, sektor pertanian mempunyai peranan penting terhadap keterjaminan makanan global, namun berdepan tekanan yang semakin meningkat susulan perubahan iklim, kekangan sumber dan perubahan ekosistem.

 

“Kanada dan Malaysia berkongsi keperluan untuk membangunkan sistem makanan yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim, dengan kerjasama dalam bidang sains, inovasi dan tadbir urus menjadi asas penting dalam usaha tersebut,” katanya.

 

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memastikan sistem makanan dan alam sekitar terus berdaya tahan, khususnya dalam konteks rantau Indo-Pasifik yang berdepan pelbagai risiko berkaitan perubahan iklim.

 

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Dato’ Haji Adnan Hussain berkata, daya tahan terhadap perubahan iklim semakin penting dalam memastikan keterjaminan makanan negara, khususnya dalam sektor perikanan dan akuakultur.

 

“Daya tahan iklim akan menjadi semakin penting bagi keterjaminan makanan negara, namun pembangunan masa hadapan tidak boleh dicapai dengan menggunakan lebih banyak tanah, air, makanan dan tenaga. 

 

 

Kita perlu menghasilkan lebih banyak dengan lebih bijak melalui penggunaan sumber yang lebih cekap, biosekuriti yang lebih kukuh serta manfaat yang lebih besar kepada manusia dan ekosistem,” katanya.

 

Simposium berkenaan turut mengetengahkan pelbagai topik berkaitan inovasi akuakultur sirkular, antaranya reka bentuk sistem akuakultur sirkular, penggunaan alga dalam akuakultur regeneratif, pengeluaran Artemia, penggunaan semula nitrogen sisa melalui bakteria nitrifikasi serta pendekatan rendah karbon dalam penternakan udang.

 

XZKQHA~