
KUALA LUMPUR, 22 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) meneroka peluang memperluas kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi di Republik Turkiye, khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi, mobiliti serta pembangunan modal insan.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Pengarah Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA), Prof. Dr. Alyani Ismail dengan Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia, Dr. Nevzat Uyanık, di kediaman rasmi duta berkenaan, hari ini.
Pertemuan itu menjadi platform bagi membincangkan usaha memperluas jaringan pendidikan tinggi antara Malaysia dan Turkiye serta mengenal pasti bidang kerjasama yang berpotensi memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

UPM mempunyai hubungan yang telah lama terjalin dengan beberapa institusi pendidikan tinggi di Türkiye menerusi kerjasama akademik dan penyelidikan, program mobiliti pelajar dan staf serta pembentukan jaringan antarabangsa.
Hubungan sedia ada itu menyediakan asas kukuh untuk kedua-dua pihak merangka inisiatif baharu, termasuk penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat yang dapat menyumbang kepada kemajuan ilmu serta kesejahteraan masyarakat.
Pertemuan tersebut turut mencerminkan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai penghubung yang mempererat hubungan antara masyarakat dan budaya kedua-dua negara melalui pertukaran ilmu dan pengalaman.
Usaha berkenaan selari dengan Pelan Pemacu Kesohoran Global UPM (PutraGLOBE) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada pengantarabangsaan, pembinaan jaringan strategik serta peningkatan sumbangan universiti pada peringkat global.



.jpg)
.jpg)

