Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain
SERDANG, 26 Jun – Batasan yang dihadapi bukan penghalang untuk mengejar impian. Bagi Nazratul Najwa Risdan, 18, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran, cabaran yang dihadapi sejak kecil menjadi pemangkin untuk membuktikan bahawa usaha, ketabahan dan semangat mampu mengatasi segala keterbatasan.
Anak kelahiran Rawang, Selangor itu antara pelajar baharu yang mendaftar bagi Program Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2026/2027, hari ini.
Nazratul Najwa berkata, beliau tidak pernah menganggap status tersebut sebagai penghalang untuk berjaya dalam bidang akademik.
“Saya tak pernah rasa OKU itu menjadi penghalang untuk berjaya dalam pelajaran. Saya akui menghadapi kesukaran untuk fokus dan memahami pelajaran dengan cepat tetapi saya jadikan perkara itu sebagai pemangkin untuk terus berusaha lebih daripada orang lain,” katanya.
Tambah beliau, setiap individu mempunyai cara pembelajaran yang berbeza dan percaya kemampuan diri boleh dipertingkatkan sekiranya disertai usaha yang berterusan.
“Saya telah jumpa cara pembelajaran yang sesuai dengan diri saya dan percaya otak kita boleh berkembang jika kita berusaha dengan cara yang betul dan jangan mudah mengalah,” katanya.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) itu turut berkongsi pengorbanannya ketika membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk hanya tidur kira-kira sejam bagi mengulang kaji subjek yang memerlukan tumpuan tinggi.
Beliau mengakui pernah dipandang rendah oleh segelintir saudara-mara yang meragui kemampuannya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, namun pandangan tersebut dijadikan motivasi untuk membuktikan kebolehannya.
“Saya memilih untuk berfikiran positif dan menjalani kehidupan seperti orang lain dalam kemampuan saya. Kekurangan bukan alasan untuk berhenti mencuba,” katanya.
Nazratul Najwa berkata, keputusan memilih UPM dipengaruhi oleh dua orang adik-beradiknya, Muhammad Najmi Risdan dan Nurul Najiah Risdan, yang merupakan alumni universiti itu serta banyak membimbingnya dalam pelajaran sejak di bangku sekolah.
“Saya sangat menghargai sokongan berterusan daripada ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberi dorongan sepanjang perjalanan akademiknya,” katanya.
Mengimbas zaman kanak-kanaknya, beliau berkata pengalaman melihat ibunya kerap mendapatkan rawatan di hospital turut menyemai minat terhadap bidang perubatan, di samping turut minat dalam bidang sains komputer.
“Harapan saya agar Program Asasi Sains Pertanian di UPM menjadi langkah pertama saya untuk merealisasikan cita-citanya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat melalui bidang yang diceburi,” katanya.



.jpg)


