| Universiti Putra Malaysia

Dua penyelidik UPM ungguli Anugerah Usahawan Penyelidik MCY 2025

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 3 Sept – Dua penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat kejayaan membanggakan apabila masing-masing meraih Naib Johan dan Tempat Ketiga dalam kategori Anugerah Usahawan Penyelidik, Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2025, bersempena National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026, baru-baru ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

 

Kejayaan tersebut diraih oleh Pensyarah Jabatan Kimia, Fakulti Sains, UPM, Prof. Madya Dr. Nur Kartinee Kassim dinobatkan sebagai Naib Johan menerusi inovasi bio-repellent Mr MoleC®ï¸, manakala Timbalan Pengarah, Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) dan juga Profesor di Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof, meraih tempat ketiga menerusi menerusi produk tablet mudah kunyah moringa, dikenali sebagai Moringa Chews (Mōryga®ï¸).

 

Anugerah itu dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertujuan untuk memperkukuhkan pengkomersialan hasil R&D dan inovasi daripada universiti, institusi penyelidikan, agensi dan inovator tempatan.

 

Pengarah Putra Science Park (PSP), UPM, Prof. Dr. Samsilah Roslan, berkata kejayaan kedua-dua penyelidik itu membuktikan keupayaan UPM dalam memperkasa penyelidikan berimpak tinggi melalui laluan pengkomersialan, selain memperkukuh ekosistem keusahawanan berasaskan teknologi dan inovasi dalam kalangan penyelidik universiti.

 

 

“Pencapaian ini turut mencerminkan peranan strategik PSP UPM dalam menyokong penyelidik membawa hasil penyelidikan dari peringkat pembangunan teknologi kepada aplikasi dan pasaran melalui pembangunan syarikat terbitan universiti,” katanya.

 

Selain itu, Prof. Madya Dr. Nur Kartinee merupakan pengasas TerraDeca Sdn. Bhd., yang membangunkan Mr MoleC®ï¸ sebagai alternatif bio-repellent berasaskan tumbuhan bagi membantu pengurusan perosak tanaman secara lebih lestari.

 

Inovasi tersebut mengetengahkan pendekatan berasaskan sumber tumbuhan sebagai alternatif dalam pengurusan perosak mencerminkan usaha penyelidik UPM meneroka penyelesaian inovatif yang mempunyai potensi aplikasi dalam sektor pertanian dan kelestarian alam sekitar.

 

Sementara itu, Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof merupakan pengasas NutraMagis Sdn. Bhd., sebuah syarikat terbitan UPM di bawah bimbingan InnoHub, Putra Science Park UPM. Produk Moringa Chews (Mōryga®ï¸) ialah tablet kunyah berasaskan moringa yang menawarkan alternatif pengambilan moringa tanpa rasa pahit dan tanpa memerlukan air. Produk ini diformulasikan bagi mengekalkan khasiat Moringa oleifera dalam bentuk yang stabil, mudah dibawa, enak dan mudah dikunyah.

XZJZFAP~