| Universiti Putra Malaysia

Hadiah Inovasi Pengurusan Makmal UPM cetus idea kreatif ke arah pengurusan makmal lestari

 

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 14 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Bahagian Pengurusan Makmal Universiti (BPMU) buat julung kalinya menganjurkan Hadiah Inovasi Pengurusan Makmal sempena Hari Kualiti dan Inovasi Perkhidmatan (HKIP) UPM 2025/2026 sebagai platform kepada staf untuk mengetengahkan idea dan inovasi terbaik ke arah pengurusan makmal yang lebih cekap, inovatif dan lestari.

 

 

Sesi penilaian akhir itu menghimpunkan tujuh kumpulan finalis yang dipilih daripada 17 penyertaan untuk membentangkan inovasi masing-masing di hadapan panel penilai. Setiap inovasi dinilai berdasarkan aspek kreativiti, impak, keberkesanan pelaksanaan serta potensi untuk diperluaskan penggunaannya dalam memperkukuh pengurusan makmal di UPM.

 

 

Penyelaras program, Bahagian Pengurusan Makmal Universiti (BPMU), Naszroul Haqimee Rahmat berkata kebanyakan inovasi yang dipertandingkan tahun ini memfokuskan kepada transformasi digital dalam pengurusan makmal.

 

 

"Apa yang menarik ialah kebanyakan inovasi yang dipersembahkan memberi fokus kepada transformasi digital pengurusan makmal melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), chatbot, serta integrasi pelbagai platform digital sedia ada.

 

 

"Ini membuktikan bahawa inovasi tidak semestinya memerlukan kos pembangunan yang tinggi, sebaliknya idea yang kreatif dan praktikal mampu menghasilkan impak besar terhadap pengurusan makmal," katanya.

 

 

Tambah beliau, terdapat juga inovasi yang menekankan kecekapan operasi, keselamatan, pengurusan inventori, pengurusan tempahan dan pengurangan penggunaan kertas.

 

 

Sementara itu, panel penilai, Pegawai Sains Bahagian Pengurusan Makmal Universiti (BPMU), Liyana Ithnin berkata inovasi yang dipertandingkan perlu mempunyai nilai aplikasi yang tinggi serta berpotensi diperluaskan penggunaannya di UPM.

 

 

"Inovasi yang baik ialah sesuatu yang praktikal, mampu memudahkan pengurusan dan boleh diaplikasikan bukan sahaja di PTJ masing-masing, malah diperluaskan ke PTJ lain di UPM. Kebanyakan inovasi yang dibentangkan juga lahir daripada cabaran sebenar dalam tugas harian, sekali gus menawarkan penyelesaian yang memberi impak kepada operasi," katanya.

 

 

Antara inovasi yang diketengahkan ialah MPKHadir atau MPKSMARTSYS daripada Fakulti Ekologi Manusia yang dibangunkan bagi mentransformasikan pengurusan kehadiran dan pemantauan kesihatan kanak-kanak di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (MPK) menerusi sistem digital berasaskan kod QR. Inovasi itu meningkatkan kecekapan pengurusan data, memudahkan komunikasi dengan ibu bapa serta menyokong amalan pengurusan tanpa kertas.

 

 

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Narimah Badau berkata idea pembangunan MPKHadir tercetus daripada cabaran harian yang dihadapi dalam menguruskan kehadiran, pemantauan kesihatan serta rekod ibu bapa secara manual.

 

 

"Melalui MPKHadir, kami berharap pengurusan data menjadi lebih sistematik, beban tugas guru dan staf dapat dikurangkan, selain membantu ibu bapa mendapatkan maklumat dengan lebih cepat dan mudah," katanya.

 

 

Majoriti inovasi yang dipersembahkan bukan sahaja memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan pengurusan makmal, malah turut mengetengahkan elemen kelestarian hijau menerusi pendigitalan proses kerja, pengurangan penggunaan sumber serta amalan operasi yang lebih lestari, selaras dengan aspirasi UPM melalui UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint dalam memacu agenda kampus lestari.

XZJTOAx~