| Universiti Putra Malaysia

Inovasi snek mangga kurangkan pembaziran buah

 

 

 

Oleh: Aimi Mohamad Farid


Foto oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain

 

SERDANG, 2 Jul - Inovasi Mangoria Crunch yang dibangunkan oleh sekumpulan pelajar semester enam program Bacelor Sains dan Teknologi Makanan dengan Kepujian, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), memperkenalkan pendekatan sisa sifar (zero waste) melalui pemanfaatan keseluruhan buah mangga.

 

 

Ketua kumpulan Mangoria Crunch, Ho Pin Jie berkata, idea menghasilkan inovasi tersebut tercetus selepas pasukannya menjalankan kajian pasaran dan mendapati produk berasaskan granola semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengguna.

 

 

“Kami mahu menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada produk sedia ada dengan memanfaatkan keseluruhan buah mangga kerana kebanyakan industri pemprosesan mangga hanya menggunakan isi buah, manakala kulit dan bijinya dibuang walaupun masih mempunyai potensi untuk dimanfaatkan,” katanya.

 

 

Menurut beliau, Mangoria Crunch menggabungkan tiga komponen utama iaitu fruit leather daripada kulit mangga, sirap mangga daripada isinya dan puff rangup yang dihasilkan daripada biji mangga untuk menghasilkan snek berasaskan granola.

 

 

Kulit mangga dikisar terlebih dahulu sebelum melalui proses pemanasan dan diratakan secara nipis untuk dikeringkan bagi menghasilkan fruit leather yang boleh dimakan.

 

 

Isi mangga pula dipotong dan dikisar menjadi jus sebelum diproses menggunakan mesin RoboQbo yang menggabungkan proses pencampuran, pemanasan, pemekatan di bawah vakum dan penyejukan dalam satu sistem tertutup bagi menghasilkan sirap mangga semula jadi.

 

 

Penggunaan mesin RoboQbo bukan sahaja membantu mengekalkan warna, rasa, kemanisan dan kelikatan sirap dengan lebih konsisten, malah meningkatkan kualiti produk serta kecekapan keseluruhan proses pemprosesan.

 

 

Biji mangga pula menjalani proses prarawatan, pengeringan dan pengisaran sebelum diproses menggunakan teknologi single screw extrusion bagi menghasilkan puff yang ringan dan rangup sebagai komponen utama Mangoria Crunch.

 

 

Pendekatan upcycling yang diterapkan dalam inovasi tersebut bukan sahaja mengurangkan sisa pemprosesan mangga, malah meningkatkan nilai ekonomi hasil sampingan melalui penghasilan produk makanan yang lebih inovatif dan lestari.

 

 

“Melalui penggunaan teknologi pemprosesan makanan ini, hasil sampingan mangga yang sering dibuang dapat ditukarkan kepada bahan makanan yang mempunyai tekstur, rasa dan nilai tambah yang lebih tinggi,” katanya.

 

 

Selain tidak menggunakan bahan pengawet tambahan, snek tersebut turut mengandungi serat diet serta sebatian bioaktif daripada kulit dan tepung isirung biji mangga, sekali gus memberi nilai pemakanan yang lebih baik kepada pengguna.

 

 

Proses inovasi Mangoria Crunch mengambil masa kira-kira 10 minggu, melibatkan keseluruhan proses penyelidikan dan pembangunan sehingga prototaip berjaya dihasilkan.

 

 

Sementara itu, setiap proses penghasilan fruit leather, sirap dan puff mengambil masa sekitar tiga hari sebelum ketiga-tiga komponen tersebut dicampur bersama, dibentuk menjadi kluster dan dikeringkan bagi menghasilkan produk akhir.

 

 

Dalam pada itu, beliau dan pasukannya berharap produk tersebut dapat dikomersialkan secara meluas setelah ditambah baik dari segi tekstur dan formulasi produk bagi menghasilkan snek yang lebih rangup serta rasa yang lebih berkualiti.

 

 

“Kami berharap Mangoria Crunch bukan sahaja dapat dikomersialkan pada masa hadapan, malah menjadi contoh bagaimana hasil sampingan pertanian boleh ditransformasikan menjadi produk makanan bernilai tinggi yang menyokong amalan sisa sifar serta kelestarian alam sekitar,” katanya.

XZJYKA~