Oleh: Nik Zaini Peei
SERDANG, 22 Jun – Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif memperkasa pemuliharaan warisan budaya negara apabila menganjurkan Bengkel Warisan Mek Mulung bagi memberi pendedahan kepada lebih 60 pelajar mengenai seni persembahan tradisional yang diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO, baru-baru ini.
Program bertemakan “Rentak Tradisi, Jiwa Generasi” itu dianjurkan oleh pelajar UPM menerusi Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar sebagai sebahagian daripada Kursus Teater dan Drama Pentas Kumpulan Dua (QKB2103) serta Kursus Persembahan Lisan Tradisional (QKB2109) bagi Semester Kedua Sesi 2025/2026.
Mek Mulung merupakan seni teater tradisional masyarakat Melayu yang berasal dari Kedah dan diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh UNESCO mencerminkan nilai sejarah dan identiti budaya yang perlu terus dipelihara oleh generasi muda.
Pengarah Program, Qudra Aleeya Maiysara Salfian, berkata penganjuran bengkel itu membuktikan komitmen mahasiswa UPM dalam mengangkat dan memelihara warisan budaya negara melalui pendekatan pembelajaran yang bersifat praktikal.
“Mek Mulung menggabungkan elemen persembahan lisan tradisional dengan unsur teater seperti lakonan, nyanyian dan ekspresi watak. Pelajar bukan sahaja dapat mengenali seni warisan bangsa malah memperoleh pengalaman berharga dalam aspek pengurusan, kepimpinan dan pelaksanaan program,” katanya.
Sementara itu, pelajar Bacelor Kejuruteraan Perisian dengan Kepujian, Ervin Tong Yuan Zhen berkata, penyertaan dalam bengkel tersebut membuka peluang kepada mahasiswa untuk memahami keunikan seni persembahan tradisional secara lebih mendalam.
“Ini secara langsung dapat menyemai rasa tanggungjawab dalam memelihara warisan budaya negara serta inisiatif seumpama ini turut menyokong usaha memperkukuh kelestarian seni tradisional agar terus diwarisi dan dihargai oleh generasi akan datang,” katanya.
Pelajar Program Doktor Perubatan Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM, Ganesh Mani Vannan, berkata penganjuran bengkel ini mencerminkan peranan UPM dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah berupaya menjadi agen pemeliharaan warisan budaya negara.
“Program ini secara tidak langsung ia dapat menanam minat terhadap persembahan teater tradisional dan memastikan kelestarian seni dan warisan itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, bengkel tersebut turut dibimbing oleh Dr. Khairul Anuar Zainudin, pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang aktif dalam usaha pemuliharaan dan pengembangan seni Mek Mulung. Beliau juga berkongsi sejarah, falsafah, nilai budaya serta teknik persembahan yang menjadi identiti teater tradisional berkenaan.



.jpg)


