| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM santuni murid, perkasa pendidikan melalui Jiwa Putra Bakti Komuniti

 

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

SERDANG, 30 Jun – Seramai 35 pelajar Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyantuni murid daripada keluarga kurang berkemampuan menerusi Program Jiwa Putra Bakti Komuniti di Asrama Kasih Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Gesir, Selangor, baru-baru ini, bagi memperkukuh pembangunan sahsiah, motivasi dan sokongan pendidikan kepada komuniti.

 

 

Program itu bertujuan memperluaskan akses pendidikan berkualiti serta menyokong pembangunan sahsiah murid menerusi pendekatan pendidikan berteraskan nilai kemanusiaan.

 

 

Pengarah Program, Nur Amirah Isahak berkata, pelaksanaan program tersebut memberi peluang kepada bakal guru memahami realiti dunia pendidikan serta cabaran mendidik murid dalam konteks semasa.

 

 

“Program ini membolehkan mahasiswa melihat sendiri cabaran mendidik murid dalam konteks sebenar serta mempelajari pendekatan yang lebih kreatif dan berkesan melalui elemen didik hibur dan gamifikasi bagi menarik minat murid untuk belajar.

 

 

“Melalui pelaksanaan Modul Inspirasi Ilmu, kami berharap murid bukan sahaja dapat meningkatkan penguasaan kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, malah membina keyakinan diri serta kesedaran untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif,” katanya. 

 

 

Pengetua Asrama Kasih YBK Gesir, Halimaton Saadiah Mohd Nawawi berkata, program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid dari sudut akademik, malah membantu meningkatkan motivasi dan keyakinan diri mereka.

 

 

“Kerjasama bersama UPM melalui pelaksanaan program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu murid memperoleh lebih banyak pendedahan, sokongan dan pengalaman yang dapat menyumbang kepada pembangunan diri mereka,” katanya.

 

 

Selain itu, pelbagai aktiviti berasaskan pembelajaran aktif yang menggabungkan pendekatan didik hibur dan gamifikasi telah dilaksanakan sepanjang program antaranya Putra Mesra, Putra Celik Ilmu, Putra Aktif Minda Sihat dan Putra Kongsi Rezeki yang memberi penekanan kepada pembangunan akademik, pembentukan sahsiah serta kesejahteraan emosi murid.

 

 

 

 

Pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu Dengan Kepujian, FPP, UPM, Nurul Huda Yusaini, berkata penglibatan dalam program tersebut memberi pengalaman bermakna serta membuka perspektif baharu mengenai peranan sebenar seorang pendidik.

 

 

“Pengalaman bersama murid mengajar saya bahawa menjadi guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga menjadi pendengar, pembimbing dan sumber inspirasi yang mampu membantu murid membina potensi diri serta mencapai cita-cita mereka,” katanya.

XZJXFAf~