| Universiti Putra Malaysia

Putra2 lambang keupayaan pelajar UPM di pentas Formula SAE Japan 2026

 

 

Oleh: Husnina Zahra Hadri

 


Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

 

SERDANG, 26 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan PUTRA2, sebuah kereta lumba Formula SAE yang dibangunkan oleh pelajar Fakulti Kejuruteraan menerusi Putra Motorsport Team (PMT) sebagai persediaan mewakili Malaysia ke 24th Student Formula Japan 2026 di Aichi, Jepun.

 

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pembangunan PUTRA2 membuktikan universiti bukan sahaja melahirkan graduan cemerlang dari segi akademik, malah berupaya membentuk bakat yang mampu menghasilkan inovasi bertaraf antarabangsa.

 

 

“Di UPM, kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik tetapi melalui keupayaan pelajar menghasilkan penyelesaian sebenar yang memberi nilai kepada industri dan masyarakat.

 

 

“PUTRA2 membuktikan bahawa pelajar kita bukan sekadar mempelajari kejuruteraan, tetapi membina teknologi dan mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.

 

 

Beliau berkata, projek seperti itu turut memberi ruang kepada pelajar meneroka inovasi, memimpin projek berskala besar serta membina kompetensi yang relevan dengan keperluan industri masa hadapan.

 

 

Sementara itu, Penasihat PMT, Prof. Ir. Dr. Mohd Khairol Anuar Mohd Ariffin berkata, pembangunan PUTRA2 mencerminkan keupayaan pelajar tempatan menghasilkan inovasi betaraf antarabangsa melalui gabungan ilmu kejuruteraan, kreativiti, dan kerja berpasukan.

 

 

“PUTRA2 bukan sekadar sebuah kereta lumba, tetapi platform pembelajaran berimpak tinggi yang membolehkan pelajar menterjemahkan teori kepada penyelesaian sebenar.

 

 

“pengalaman ini membentuk kemahiran teknikal, kepimpinan, komunikasi dan keupayaan membuat keputusan yang amat diperlukan dalam landskap industri masa hadapan,” katanya.

 

 

Kapten Pasukan PMT, Aliman Zafran Yuslaimi berkata, penyertaan dalam Formula SAE Japan bukan sekadar pertandingan menghasilkan kereta lumba, sebaliknya menguji keupayaan pasukan dalam aspek kejuruteraan, analisis kos, pembentangan model perniagaan dan prestasi keseluruhan kenderaan.

 

 

“Sepanjang pembangunan PUTRA2, pasukan turut berdepan cabaran mendapatkan penajaan, namun sokongan daripada universiti serta rakan industri membolehkan projek dapat direalisasikan sehingga berjaya dilancarkan sebagai jentera yang bakal membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa,” katanya.

 

 

Projek bernilai RM118,787.12 itu direalisasikan menerusi kerjasama erat antara UPM dan rakan industri, termasuk Embun Karisma Resources (M) Sdn Bhd, Ranhill Berhad dan CFMOTO (Sunlight Power Sdn Bhd), mencerminkan keyakinan industri terhadap keupayaan bakat kejuruteraan UPM.

XZJRLAa~