| Universiti Putra Malaysia

UPM-Airbus jalin kerjasama perkasa bakat aeroangkasa negara

 

Oleh: Husnina Zahra Hadri

Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain

 

SERDANG, 5 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh pembangunan bakat aeroangkasa negara menerusi kerjasama strategik bersama Airbus yang memberi tumpuan kepada pendidikan, penyelidikan, inovasi serta pendedahan industri bertaraf global.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata kerjasama itu selari dengan hala tuju universiti berasaskan konsep “True North” yang menekankan pengukuhan jaringan global melalui pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pengantarabangsaan.

 

“Melalui kolaborasi ini, pensyarah, penyelidik dan pelajar berpeluang memperoleh pendedahan secara langsung kepada ilmu, teknologi, inovasi serta amalan industri terkini daripada pakar profesional dalam industri aeroangkasa global.

 

“UPM turut merancang pelbagai program bersama Airbus termasuk lawatan industri, ceramah kerjaya, perkongsian ilmu dan pengalaman serta penglibatan pelajar dalam program tahunan Airbus Sustainable Week,” katanya.

 

Selain itu, kerjasama bersama syarikat aeroangkasa terkemuka dunia itu turut memberi nilai tambah kepada ekosistem pembelajaran universiti serta menyediakan platform kepada warga akademik dan pelajar untuk mendekati teknologi serta amalan industri semasa.

 

Ketua Wakil Airbus di Malaysia, Burhanudin Noordin Ali, berkata hubungan antara UPM dan Airbus sebenarnya telah bermula sejak tahun 2021 menerusi Program Perkongsian Kerjaya yang melibatkan alumni Kejuruteraan Aeroangkasa UPM yang kini berkhidmat di Airbus.

 

“Hasil kerjasama tersebut, pelbagai impak positif berjaya direalisasikan termasuk peluang latihan industri di Airbus serta pembukaan laluan kerjaya kepada graduan Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa UPM untuk menyertai syarikat bertaraf antarabangsa ini,” katanya.

 

Menurut beliau, inisiatif yang diterajui Profesor Madya Ir. Dr. Adi Azriff Basri itu berkembang secara signifikan dan menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan industri aeroangkasa global.

 

Sementara itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan, UPM, Profesor Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab Kadir berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen fakulti dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, kompeten dan memenuhi keperluan industri semasa.

 

“Fakulti Kejuruteraan sentiasa komited memperukukuhkan hubungan strategik bersama industri bagi memastikan ekosistem pembelajaran dan penyelidikan sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi global.

 

“Kerjasama bersama Airbus ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk memperluas pengalaman profesional, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat dan inovasi dalam bidang aeroangkasa negara,” katanya.

 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib; Ketua Sumber Manusia Airbus Asia Pasifik, Paul Coignec serta Ketua Sumber Manusia Airbus Malaysia, Tammy Lim.

XZGGDAy~