| Universiti Putra Malaysia

UPM JUARA SULUNG PERTANDINGAN DEBAT PIALA KETUA AUDIT NEGARA 2026




KUALA LUMPUR, 15 Ogos
– Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Debat Piala Ketua Audit Negara (PKAN) 2026, sekali gus muncul juara sulung pertandingan berkenaan yang julung kali dianjurkan sempena sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara.

Pasukan Debat UPM berjaya menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pusingan akhir yang berlangsung di Bangunan Parlimen Malaysia menerusi perbahasan usul “Dewan Ini Percaya Bahawa Budaya Akauntabiliti Perlu Melengkapi Tindakan Punitif dalam Menangani Kegagalan Tadbir Urus.

Ketua Pasukan Debat UPM, Muhammad Faiz Ahmad Zaini, berkata kejayaan tersebut merupakan hasil latihan berterusan, persediaan rapi dan kerjasama erat seluruh pasukan.

“Kejayaan kami menjadi juara bukanlah hasil usaha dalam tempoh yang singkat, tetapi melalui latihan yang berterusan dan konsisten. Perkampungan yang kami jalani selama dua minggu sangat efektif kerana bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kefahaman terhadap usul, malah membentuk kerjasama serta keserasian dalam pasukan.

“Setiap ahli saling melengkapi, berkongsi pandangan dan memperbaiki kelemahan masing-masing sehingga kami lebih bersedia untuk menghadapi pertandingan,” katanya.

Menurutnya, antara cabaran terbesar yang dihadapi ialah perubahan usul pada saat-saat akhir yang memerlukan mereka menyesuaikan strategi, membuat persediaan semula serta membina hujah dalam tempoh yang terhad.

“Pada masa yang sama, kami turut berdepan tekanan untuk mempertahankan pencapaian sebelum ini. Namun, tekanan tersebut kami jadikan sebagai motivasi untuk membuktikan bahawa kejayaan lalu bukan sekadar kebetulan, sebaliknya hasil daripada disiplin, persediaan dan semangat berpasukan,” katanya.

“Pengalaman melalui setiap peringkat pertandingan turut menguji ketahanan mental dan keupayaan pasukan untuk kekal fokus, khususnya apabila berdepan pasukan-pasukan berpengalaman dalam arena debat.

“Bukan mudah untuk mara ke suku akhir, apatah lagi untuk terus melangkah ke separuh akhir dan final. Setiap pusingan memberikan cabaran yang berbeza dan kami perlu sentiasa bersedia untuk menyesuaikan pendekatan ini.

“Apabila berjaya memenangi suku akhir dan separuh akhir, kami sedar bahawa peluang untuk mencipta sejarah semakin terbuka. Namun, kami tetap melihat setiap perlawanan sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi dengan tenang dan disiplin,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Debat Bahasa Melayu UPM, barisan jurulatih dan alumni, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM serta Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani atas sokongan, bimbingan dan kemudahan yang disediakan sepanjang persediaan pasukan.

“Kemenangan ini bukan sekadar sebuah pencapaian, tetapi hasil daripada latihan, pengorbanan, disiplin dan kerjasama seluruh pasukan.

“Perjalanan ini tidak sentiasa mudah. Kami berdepan perubahan usul pada saat akhir, tekanan untuk mempertahankan pencapaian lalu serta cabaran sepanjang sesi latihan. Namun, segala cabaran tersebut mengajar kami erti ketahanan, kepercayaan dan kekuatan sebuah pasukan,” katanya.

Sementara itu, Pertandingan Debat PKAN 2026 berlangsung dengan saringan awal selama dua hari pada 13 dan 14 Ogos 2026 di Akademi Audit Negara, Bandar Enstek, Nilai, sebelum pusingan akhir diadakan di Bangunan Parlimen Malaysia pada 15 Ogos 2026.

Pertandingan berkenaan telah disempurnakan penutupannya oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul, dan turut dihadiri Ketua Audit Negara, YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

UIAM muncul sebagai Naib Johan, manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkongsi tempat ketiga.

XZJVQAc~