| Universiti Putra Malaysia

UPM Perkasa Pelajar Sekolah Melalui Pertanian, STEM dan Perancangan Pendidikan Masa Depan

 

 

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

 

SERDANG, 6 Julai – Seramai 40 mahasiswa Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) QKK2101 Bakti Siswa Kumpulan 6, Universiti Putra Malaysia (UPM) turun padang memperkasa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak menerusi Program Skuad Putra: Pendidikan Pertanian, Komuniti Sejahtera yang menggabungkan pendidikan pertanian, STEM dan pendedahan hala tuju pendidikan selepas SPM, baru-baru ini.

 

 

Program bertemakan Ilmu Pertanian Pemacu Kehidupan Lestari itu memberi peluang kepada pelajar sekolah meneroka aplikasi sains dan teknologi dalam pertanian bagi meningkatkan kesedaran mengenai peluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

 

 

Fasilitator Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) QKK2101 Bakti Siswa Kumpulan 6, UPM, Iftiqar Bee Abdul Gani, berkata program berkenaan menjadi platform kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu di luar bilik kuliah melalui aktiviti pemindahan ilmu dan khidmat masyarakat.

 

 

“Program ini membuktikan mahasiswa bukan sahaja menimba ilmu di universiti, malah mampu menjadi agen pemindahan ilmu kepada masyarakat. Pada masa yang sama, ia menyemai budaya kesukarelawanan, kepimpinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar UPM, sekali gus menyuburkan budaya Jiwa Putra yang menjadi teras pembentukan mahasiswa berjiwa masyarakat,” katanya.

 

 

Antara pengisian utama ialah sesi Transfer Knowledge Agriculture, Hala Tuju Pendidikan Selepas SPM dan Bengkel STEM. Melalui sesi pertanian, pelajar didedahkan kepada penghasilan baja organik dan racun serangga menggunakan sisa buangan domestik sebagai pendekatan pertanian lestari, manakala sesi hala tuju pendidikan memberi penerangan mengenai laluan pengajian seperti Matrikulasi, Asasi, Diploma dan STPM.

 

 

Bengkel STEM pula dilaksanakan melalui pertandingan berkonsepkan tujuh stesen interaktif yang mencabar peserta menyelesaikan tugasan berasaskan pemikiran kritis, kreativiti, komunikasi dan kerja berpasukan.

 

 

Pelajar Tahun Pertama Bacelor School of Business and Economics (SBE), UPM, Elintan Dewi Norastuti Samidi, berkata program itu membolehkan mahasiswa menyumbang kepakaran kepada masyarakat sambil membina kemahiran insaniah.

 

 

“Melalui aktiviti pendidikan pertanian dan perkongsian hala tuju selepas SPM,kami dapat membantu pelajar sekolah melihat peluang pendidikan dan kerjaya dengan lebih jelas. Saya berharap lebih banyak program seperti ini dapat dilaksanakan pada masa hadapan kerana manfaatnya dirasai oleh kedua-dua pihak,” katanya.

 

 

Rakannya, Ranjit Ram Shanker, berkata program itu mencerminkan komitmen UPM dalam memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti melalui pemindahan ilmu, pembudayaan STEM dan pendidikan pertanian.

 

 

“ Ini adalah usaha melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

XZJIKA1~