| Universiti Putra Malaysia

UPM perkukuh pemindahan ilmu penternakan kepada komuniti di penjara

 

Oleh: Husnina Zahra Hadri

 

 

SERDANG, 1 Jul – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkasa pemindahan ilmu penternakan kepada komuniti menerusi Program Kemahiran Ternakan di Penjara Dusun Dato’ Murad bagi memberi pendedahan amalan penternakan yang beretika dan mampan.

 

 

Pensyarah Kanan, Fakulti Pertanian UPM, Dr. Nur Bahiah Mohamed Haris berkata, program tersebut memberi peluang kepada pelajar mengaplikasi ilmu yang dipelajari di bilik kuliah dalam situasi sebenar, di samping berkongsi pengetahuan dengan komuniti.

 

 

“Program ini bukan sahaja membantu pelajar mengukuhkan pengetahuan teknikal, malah meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti.

 



“Pada masa yang sama, pelajar turut memupuk rasa tanggungjawab sosial dengan berkongsi ilmu serta pengalaman yang boleh dimanfaatkan oleh peserta,” katanya.

 

 

Program anjuran 50 pelajar tahun satu Bacelor Sains Haiwan dengan Kepujian, Fakulti Pertanian UPM, telah melibatkan penyertaan seramai 16 banduan dan lima pegawai penjara sebagai sebahagian daripada kursus TKP3207 Pengembangan Ternakan.

 

 

Sepanjang program, peserta mengikuti sesi ceramah mengenai kesihatan haiwan ternakan, teknik penanaman rumput Napier, pengurusan ternakan yang cekap serta kepentingan penyediaan sumber makanan ternakan yang berkualiti.

 

 

Peserta turut menjalani latihan amali melibatkan penanaman rumput Napier, pemasangan tag telinga (ear tagging) dan pemberian ubat cacing kepada kambing susu serta biri-biri Black Belly yang dipelihara di ladang penjara tersebut.

 

 

Sementara itu, Pengarah Program, Muhammad Hazeeq Haiqal Norizam, berkata penganjuran program itu membuktikan perkongsian ilmu antara universiti dan komuniti mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

 

 

“Program seperti ini bukan sekadar platform berkongsi ilmu dan pengalaman, malah menjadi medium untuk memupuk nilai kemanusiaan, empati dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

 

 

Inisiatif ini selaras dengan komitmen UPM dalam memperluas jaringan bersama komuniti melalui perkongsian ilmu dan kepakaran, seterusnya melahirkan graduan yang holistik serta mempunyai tanggungjawab sosial.

XZJePAM~