Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
SERDANG, 29 September 2026 – Seramai 33 mahasiswa dan alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai International Youth Camp (IYC) 2026 yang menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara bersempena sambutan Hari Malaysia, baru baru ini.
Program anjuran Pertubuhan Pemimpin Sukarelawan Malaysia (YOSH) yang berlangsung selama tiga hari itu memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan, pembentukan karakter, daya tahan, semangat kerjasama serta pengukuhan jaringan dalam kalangan generasi muda.
Mengangkat tema “Teamwork. Leadership. Resilience. Service.”, IYC 2026 menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman menerusi pelbagai aktiviti luar, sesi perkongsian dan interaksi antara peserta daripada latar belakang berbeza.
Menurut penganjur, penglibatan peserta dalam pelbagai aktiviti tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada kemahiran kepimpinan, malah membantu mereka mengenali potensi diri, meningkatkan keyakinan serta membina keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran yang berbeza.
Pelajar tahun akhir Bacelor Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian, Nur Farzanah Abdul Fattah yang diberi tanggungjawab sebagai Camp Committee (CampCom) sepanjang program berkata, IYC 2026 merupakan satu pengalaman yang bermakna dan memberi impak kepada perkembangan dirinya.
“Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk memegang tanggungjawab sebagai CampCom bagi keseluruhan program ini. IYC 2026 merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna dan memberi impak kepada perkembangan diri saya.
“Saya berpeluang bertemu dengan belia daripada pelbagai universiti termasuk peserta dari luar negara. Program ini membuka perspektif saya tentang kemahiran survival, di samping memberikan wawasan yang lebih luas untuk saya persiapkan diri menghadapi masa hadapan,” katanya.
Antara aktiviti yang disediakan termasuk Jungle Trekking, Survival Cooking, Snorkeling Expedition, Networking Session serta pembelajaran sirah “10 Ummahatul Mukminin”.
Sementara itu, pelajar Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian, Nur Suraya Khaleda Kamaruddin berkata, penyertaan kali keduanya dalam IYC memberikan pengalaman berbeza apabila beliau buat pertama kalinya diberi tanggungjawab sebagai CampCom.
“Ini merupakan kali kedua saya menyertai IYC, namun buat pertama kalinya saya diberi tanggungjawab sebagai CampCom. Ia sememangnya satu cabaran baharu, tetapi tidak mematahkan semangat saya untuk mencuba dan belajar.
“Di IYC, saya memperoleh banyak pengalaman baharu apabila berpeluang berkenalan dengan rakan daripada pelbagai kampus. Setiap daripada mereka mempunyai cerita dan pengalaman hidup tersendiri, sama ada di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana mahupun PhD,” katanya.
Penglibatan mahasiswa UPM dalam program seumpama ini selari dengan usaha memperkukuh Kesejahteraan Warga dan Jiwa Putra melalui pembangunan sahsiah, kepimpinan, daya tahan serta kemahiran kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa.






