| Universiti Putra Malaysia

PEMAJU, MyFundAction Perkasa Komuniti Orang Asli Melalui STEM

 

 

 

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

 

Serdang, 18 Jun – Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan (PEMAJU), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama MyFundAction, Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) dan Sekolah Kebangsaan RPS Dala telah menganjurkan program Tech4Tribe 1.0: STEM Leaders for Community Impact (SLCI) bagi memperkasa komuniti Orang Asli menerusi pemindahan ilmu STEM serta aktiviti khidmat masyarakat.

 

 

Program yang berlangsung selama tiga hari di Sekolah Kebangsaan RPS Dala, Gerik itu bertujuan meningkatkan minat murid terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan aktiviti interaktif.

 

 

Pengarah Program, Fakhrul Iman Md Said berkata program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa UPM untuk menjadi fasilitator, malah membimbing pelajar Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) supaya mampu berperanan sebagai fasilitator dalam pelaksanaan aktiviti bersama komuniti Orang Asli.

 

 

"Program ini bukan sahaja memberi pengalaman kepada pelajar UPM untuk mengendalikan program, malah melatih pelajar SAS menjadi fasilitator yang mampu berkongsi ilmu dan pengalaman," katanya.

 

 

Program tersebut turut mendapat sokongan MyFundAction yang membantu dalam perancangan dan penyelarasan program selain menjadi penghubung antara pihak penganjur, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan pihak sekolah bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar.

 

 

Antara pengisian utama program ialah pelaksanaan aktiviti STEM interaktif yang merangkumi modul kinetik, kelikatan (viscosity) dan graviti yang disampaikan dalam bentuk permainan berkonsepkan eksplorasi bagi menarik minat murid mempelajari sains secara lebih menyeronokkan.

 

 

Selain itu, peserta turut melaksanakan aktiviti kesukarelawanan seperti penghasilan mural dan pembinaan sistem tanaman hidroponik di sekolah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan lestari.

 

 

Pelajar Tahun 2, Bacelor Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan UPM, Asnoramirul Danial Ag. Sarpuddin berkata, pengalaman berinteraksi dengan komuniti Orang Asli memberi perspektif baharu mengenai kepentingan pendidikan dan kesukarelawanan.

 

 

"Melihat fasilitator yang pernah dibimbing kini membimbing orang lain membuktikan bahawa ilmu dan inspirasi mampu berkembang serta memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat," katanya.

 

 

 

Program ini dilihat berjaya memberi impak positif kepada komuniti melalui gabungan elemen pendidikan STEM dan khidmat masyarakat selain membantu membangunkan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa yang terlibat.

 

 

Usaha ini juga mencerminkan komitmen berterusan mahasiswa UPM dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui pendidikan, kesukarelawanan dan pemerkasaan generasi muda.

XZHPBAM~