| Universiti Putra Malaysia

Roti Berasaskan Biji Durian, Cetusan Idea Kreatif Pelajar UPM




Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain


Ketika industri durian berdepan cabaran harga yang merudum dan lambakan hasil di pasaran, sekumpulan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) melihat situasi itu daripada sudut berbeza. Bagi mereka, biji durian yang lazimnya dibuang selepas isi dimakan sebenarnya mempunyai potensi besar untuk dijadikan produk makanan bernilai tinggi.

Berpandukan idea tersebut, Doughrian berjaya membangunkan roti berasaskan tepung biji durian melalui projek tahun akhir (FYP). Inovasi ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sisa agro makanan, malah menyokong usaha mengurangkan pembaziran makanan serta memperkukuh amalan ekonomi kitaran.

Ketua kumpulan, Yeap Xiang Yang, berkata idea menghasilkan roti daripada biji durian tercetus apabila melihat situasi semasa industri durian yang mengalami kejatuhan harga akibat lambakan bekalan.

"Apabila harga durian jatuh dan bekalannya melambak di pasaran, kami melihat peluang untuk menghasilkan nilai baharu daripada bahan yang selama ini dianggap sebagai sisa. Kami berharap inovasi ini dapat membuka peluang pendapatan tambahan kepada industri melalui pemanfaatan biji durian.




“Bagi menghasilkan tepung berasakan biji durian, biji tersebut akan melalui beberapa proses iaitu mencuci, merebus, menyejukkan, mengupas kulit luar, menghiris, mengeringkan, mengisar dan menapis sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.

“Kemudian tepung tersebut kemudian dipanggang dan digunakan dalam formulasi roti bersama bahan-bahan lain bagi menghasilkan produk bakeri yang berkualiti,” katanya.

Menurutnya, roti yang dihasilkan mempunyai nilai pemakanan yang lebih baik berbanding roti komersial.

"Roti yang kami hasilkan mengandungi kira-kira 16.4 peratus karbohidrat, jauh lebih rendah berbanding roti biasa yang lazimnya mengandungi sekitar 40 hingga 50 peratus karbohidrat. Ini menjadikannya pilihan yang lebih sesuai untuk individu yang ingin mengawal pengambilan karbohidrat atau berat badan," katanya.

Beliau berkata formulasi roti itu turut mengandungi kira-kira 20 peratus protein dan 13.9 peratus serat makanan, sekali gus menawarkan kandungan protein dan serat yang lebih tinggi berbanding kebanyakan roti komersial di pasaran.





“Selain itu, roti berasaskan tepung biji durian tersebut turut mempunyai indeks glisemik rendah, bebas laktosa serta sesuai untuk mereka yang vegetarian, menjadikannya selari dengan permintaan pengguna yang semakin mengutamakan makanan sihat dan berfungsi.

Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan kes diabetes jenis 2 di Malaysia turut menjadi antara faktor yang mendorong mereka menghasilkan produk yang lebih berkhasiat.

"Kami berharap inovasi ini dapat menjadi salah satu alternatif makanan yang lebih sihat dan membantu pengguna mengamalkan corak pemakanan yang lebih baik," katanya.

Katanya penggunaan biji durian sebagai bahan makanan alternatif bukan sahaja mengurangkan pergantungan kepada tepung konvensional, malah berpotensi meningkatkan nilai ekonomi hasil sampingan industri durian yang selama ini kurang dimanfaatkan.

 

XZHPRA1~